Parlimen Belia


Latar Belakang


Mesyuarat pertama Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia telah bersetuju supaya dilaksanakan Makmal Transformasi Pembangunan Belia sebagai satu usaha untuk mengenali serta memahami keperluan sebenar generasi Y di negara ini. Makmal yang dilaksanakan pada 1 November 2010 hingga 10 Disember 2010 telah menghasilkan 6 inisiatif transformasi yang dilihat wajar untuk dilaksanakan khususnya dalam menjadikan generasi Y sebagai fokus utama pembangunan belia negara.
Salah satu inisiatif tersebut adalah adalah mewujudkan Parlimen Belia Malaysia. Parlimen Belia Malaysia merupakan platform bagi menyuarakan suara belia yang berbeza daripada kaedah pelaksanaan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN). MPBN telah diwujudkan pada tahun 1971 sebagai satu forum ala “Parlimen Belia” bagi membincangkan pendekatan, isu serta aktiviti pembangunan belia negara. Peranan MPBN ini amat besar dalam sejarah pembangunan belia negara khususnya dalam menentukan hala tuju dan pendekatan pembangunan belia yang perlu berubah mengikut keperluan dan peredaran masa.
Hasil makmal mendapati bahawa MPBN amat baik dan wajar diteruskan sebagai forum terpenting bagi menyuarakan pandangan dan “suara belia” dalam pembangunan belia negara. Makmal juga mendapati bahawa MPBN telah melalui beberapa fasa perubahan yang penting dan wajar dalam menangani situasi semasa yang sentiasa berubah. Namun demikian, terdapat beberapa kelemahan MPBN sebagai platform dalam menyuarakan suara belia perlu dikaji dan diperkasakan selaras dengan usaha transformasi pembangunan belia itu sendiri.
Oleh itu, kementerian melalui makmal telah melahirkan inisiatif Parlimen Belia Malaysia berasaskan jumlah persatuan belia yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Belia Malaysia. Hanya 20 peratus daripada belia Malaysia terlibat dalam persatuan belia. Parlimen Belia Malaysia ini adalah bagi memberi peluang kepada 80 peratus belia yang bukan ahli persatuan belia bersuara bagi mewakili belia-belia di peringkat akar umbi dalam memberi pandangan terhadap pembangunan belia negara.
Peranan dan fungsi Parlimen Belia Malaysia sebagai platform kepada belia menyuarakan idea dan pandangan hampir menyamai Parlimen Belia di kebanyakan negara-negara maju seperti Australia, United Kingdom, New Zealand dan Negara-negara Eropah.

Objektif

Pelaksanaan Parlimen Belia Malaysia adalah bertujuan untuk melatih dan melahirkan barisan pelapis kepimpinan muda yang berkaliber dan berwibawa sejajar dengan keperluan negara masa kini dan masa hadapan. Objektif Parlimen Belia Malaysia adalah:
Untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pemimpin dari kalangan generasi Y demi kepentingan survival dan penerusan kepimpinan negara jangka panjang;
Sebagai platform kepada belia bagi memberi peluang dan pengalaman secara praktikal dalam proses membuat undang-undang serta memahami sistem pentadbiran negara.
Menjadi rujukan mengenai trend belia kepada pentadbiran Negara.

Kaedah Pemilihan

Kaedah pemilihan ahli Parlimen Belia Malaysia menggunakan sistem pemilihan Ahli Parlimen Belia Malaysia (e-PBM) secara atas talian.
Parlimen Belia Malaysia akan dilaksanakan seperti berikut: i) Majlis Belia Malaysia dilantik sebagai penyelaras Parlimen Belia malaysia yang bekerjasama dengan kerajaan bagi menguruskan perjalanan Parlimen Belia Malaysia
ii) bersidang sebanyak 2 kali dalam setahun di mana setiap persidangan berlangsung selama 3 hari penuh
iii) perbincangan/perbahasan semasa sidang perlu berfokus kepada isu ditetapkan
iv) keputusan dan Cadangan/Usul/Resolusi dalam Sidang Parlimen Belia akan dikemukan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia.


Komposisi Keahlian

Komposisi keahlian Parlimen Belia Malaysia adalah seramai 222 belia yang berumur antara 18 hingga 30 tahun yang dipilih seorang wakil belia bagi setiap kawasan Parlimen yang mewakili belia berpersatuan mahupun belia tidak berpersatuan (222 orang);
i) warganegara Malaysia berumur 18 hingga 30 tahun
ii) aktif menjalankan aktiviti khidmat masyarakat dan mempunyai pengalaman dengan kerja sosial
iii) berkemampuan untuk berkomunikasi dengan jelas dan mendedahkan fikiran dan idea-idea dalam cara yang koheren
iv) memiliki potensi kepimpinan yang cemerlang
v) tidak muflis dan tidak terlibat dalam apa-apa kes jenayah
vi) fasih berbahasa Melayu ( persidangan adalah dalam Bahasa Melayu); dan vii) boleh bekerja secara berkesan dalam persekitaran kerja berpasukan;

Jawatankuasa



PENDAPAT ANDA TENTANG LAMAN INI